Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday 8 January 2018

Dheo's (BAB 1)


BAB 1

Mia bella…” Kedua-dua kelopak mata terus terbuka.

Gelap. Itu yang aku nampak. Sunyi. Itu yang aku dengar. Nafasku berombak lembut. Sepertinya sudah biasa melalui semua ini.

Mengeluh. Tangan meraba-raba dalam kegelapan. Mencari telefon pintarku yang selalu diletak di sebelahku. Dah pukul berapa sekarang ni? Tepat firasatku. Tiga pagi.

Aku mengubah posisi tidur. Dari elok memeluk patung anak singa, aku menelentang. Merenung siling. Kalau tadi gelap-gelita, kini mataku mula menyesuai dengan keadaan itu. Kelip-kelip mataku pandang kipas pegun yang menghiasi siling itu.

Tiga tahun. Tiga tahun sudah pun berlalu selepas kemalangan terukku dulu. Dan boleh dikatakan hampir setiap hari aku akan tersedar tepat jam tiga pagi. Tiap-tiap kali itu jugalah perkataan Mia bella itulah penyebab aku tersedar. Mimpi bagaikan ulang tayang. Suara garau tapi lembut itu terngiang-ngiang. Malangnya tak pernah sekali pun pemilik suara itu muncul.

Aku yakin mimpi bukan sekadar mimpi. Seratus peratus aku yakin mimpi itu punya ikatan dengan kehidupanku yang dulu. Tapi agak sedih juga. Tiga tahun berlalu, tapi satu memori pun aku tak dapat ingat. Aku masih sama seperti ketika aku bangun dulu. Kawan-kawan lama yang menegurku pun aku tak dapat cam. Hanya simpati yang dihulurkan apabila aku menerangkan kepada mereka.

Aku mengeluh lagi. Gebar tebal ditolak dari tubuh. Nak sambung tidur pun, mata dah segar. Mungkin Allah sedarkan aku supaya aku boleh solat sunat tahajud. Tanpa membuang masa, terus aku berlalu ke bilik air. Ingin mengambil wuduk.

Mungkin aku kena terus berdoa. Mungkin doa aku masih belum cukup dan sebab itulah Allah masih belum perkenankan doaku. Tapi aku tak pernah putus asa, aku yakin suatu hari nanti dengan izin Allah, ingatanku akan kembali pulih. Kalau bukan sepenuhnya, paling tidak pun separuh.

   ------------

Malang betul aku rasa hari ni! Penat aku bangun awal, berdandan cantik. Mulut pun dah lenguh membebel bermacam bahasa apabila menghadap kesesakan lalau lintas. Cun je baby Taurus masuk kotak parking, boleh pulak pensyarah aku bergurau-senda dalam whatsapp group dengan mengatakan kelas dia batal hari ini dan dia lupa nak bagitahu.

Separuh kelas bersorak. Maksudnya boleh sambung tidur sebab memang cuma ada kelas tu je hari ni. Yang duduk kolej kediaman bolehlah menari cia cia. Yang duduk jauh macam aku ni rasa nak menari kuda kepang! Tak tahu ke kalau naik kereta, orang pakai petrol namanya, bukan jus oren. Dahlah minyak selalu naik. Hai.. sabar je la!

Nak taknak, patah balik! Dalam kereta kepala sibuk mengatur rancangan. Apa aku nak buat hari ni? Kat rumah confirm sepi. Ayah dah tentu tengah bersiap nak pergi kerja. Entah-entah dah pergi kerja dah. Tinggal di rumah sendirian sumpah bosan.

Aku dah tahu destinasiku selepas ini. I’s Café. Dah lama tak pergi. Sibuk punya pasal, aku dah jarang jejak kaki ke situ. Niat asal nak terus ke sana. Tapi aku lupa yang set alat melukisku tertinggal di rumah. Memang kebiasaannya itulah aktivitiku bila berada di kafe itu.

Sewaktu aku tiba di depan pintu pagar besar rumahku, kereta ayah masih berada di garaj. Maksudnya ayah belum pergi kerja. Jam di dashboard kereta dijeling sekali. Keningku berkerut sedikit. Dah lambat. Kenapa ayah belum pergi kerja? Atau cuti? Atau masuk lambat sikit?

Tanpa menghiraukan persoalanku yang sepi tak berjawab itu, aku keluar dari kereta. Aku masuk ke dalam rumah. Langkah terus diatur ke bilik tidurku. Buku lukisan yang selalu menjadi penemanku di kala bosan terletak cantik di atas katil. Lantas aku capai dan memasukkannya ke dalam beg sandangku.

Setelah memastikan tiada apa yang tertinggal, aku terus melangkah keluar. Niat untuk terus keluar dibatalkan sebaik sahaja aku teringatkan ayah. Risau. Macam mana ayah sebenarnya sakit?

Aku melangkah ke bilik tidur ayahku yang terletak berdepan dengan bilik tidurku. Tombol dipulas. Kosong. Katil kemas tersusun. Maksudnya ayah dah keluar. Tapi ayah kat mana? Kalau ayah takde di bilik, maksudnya cuma satu. Mungkin ayah di bilik kerjanya.

Aku terus turun tangga. Bilik kerja ayah terletak di tingkat bawah. Agak tersorok sedikit. Aku pun tak tahulah kenapa ayah pilih bilik tu untuk jadi bilik kerjanya. Mungkin mahukan privasi.

Pintu bilik diketuk sekali. Kalau ayah di dalam bilik kerja, memang kebiasaannya aku akan ketuk pintu dulu sebelum redah masuk. Aku tahu ayah tak kisah kalau aku redah masuk sekali pun. Tapi aku cuma hormat kalau ayah sedang siapkan kerjanya. Aku ketuk pun sekadar untuk memberitahu tentang kehadiranku.

Seperti biasa, selepas ketuk sekali, daun pintu itu terus ditolak.

“Ayah,” panggilku. Kepala menjenguk dahulu.

Dua susuk tubuh pegun mendengar teguranku. Alamak, ayah tak sendirian! Sekilas aku cuma melihat ada lelaki lain yang sedang duduk di atas kerusi, berdepan dengan ayah. Agak jauh dari pandanganku. Susuknya membelakangiku. Baru sahaja nak panjang leher melihat gerangan kawan ayah, ayah dah berdiri di depanku. Terus hilang susuk lelaki itu.

“Rissa, bila balik? Bukan pagi-pagi lagi dah pergi ke kelas ke?” soal ayah.

Aku senyum sekejap. Wajah tua ayah dipandang. Terus lupa tentang lelaki itu.

“Kelas tiba-tiba cancel. Lecturer ada hal. Penat Rissa siap awal-awal.” Aku mengeluh.

“Habis ni nak pergi mana?”

Ayah ni buat-buat tanya pulak dah.

“I’s Café la ayah, mana lagi? Balik ni pun sebab nak ambik sketch book. Rissa nampak kereta ayah. Risau kalau ada apa-apa jadi kat ayah. Ayah tak kerja ke hari ni?”

“Kerja. Masuk lewat sikit. Ayah ada hal nak discuss sikit,” balas ayahku. Jawapannya buatkan kepalaku kembali teringat yang aku tak berdua dengan ayah. Tapi sepinya macam kami cuma berdua. Kawan ayah tu pun, kenapa kejung macam batu je? Mungkin menghormati kami yang sedang bercakap.

“Ayah, siapa tetamu ayah tu?” Perlahan suaraku. Kononnya khas untuk didengari oleh telinga ayah. Tapi gara-gara kesunyian yang tebal mengalahkan dinding itu, suaraku macam bercakap dalam gua. Bergema. Aku yakin lelaki itu turut mendengarnya.

Kepala gatal untuk melihatnya lagi. Biasalah.. Curiousity kills the cat. Nak pulak memang aku ni jenis yang memang tinggi rasa ingin tahunya. Tapi tubuh ayah tetap menghalangku. Kalau aku nak tengok, aku kena mengensot ke kanan sikit. Tapi kalau aku buat macam tu, kantoi la aku gatal nak mengusyar tetamu ayah itu.

“Kawan ayah.” Mudah sungguh jawapan ayah.

“Taknak kenalkan ke? Nampak muda. Kutlah jadi menantu ayah nanti.” Aku saja bergurau. Sembang macam kawan ayah tak dengar. Haha.

Ayah seakan cuba menahan senyum.

“Betul nak kenal? Nama dia Fateh.”

Dan senyumanku terus mati. Telan liur.

Fateh. Anak angkat ayah. Selalu dengar cerita pasal Fateh. Fateh budak baik. Fateh anak soleh. Fateh itu dan Fateh ini. Dan paling seram bila ayah cakap, “Sejuk hati kalau jadi menantu.” Lagi seram bila ayah cakap macam tu, mata jeling aku. Dan seram tahap maksimum bila cuma aku anak perempuan ayah. Malah satu-satunya anak ayah.

Oo..” Hanya itu yang mampu keluar dari mulutku. Terkedu. Taknak cakap lebih. Sebab ayah aku tu masih dalam mood mencari calon suami yang baik untuk Nurissa. Bukan sembarangan lelaki yang boleh dekat denganku. Sebab itulah sepanjang tiga tahun aku belajar di Universiti Malaya ni, ayah memang haramkan aku bercinta. Kawan lelaki pun boleh dikira dengan jari.

“Err.. Rissa tiba-tiba sakit perut la. Nak pergi tandas dululah. Lain kalilah Rissa berkenalan ya.” Aku pegang perut.

Sumpah.. aku tak auta. Dengar je nama Fateh tadi, nasi lemak pagi tadi pun terus lancarkan mogok. Dan sekarang campur dengan rasa nervous, memang cantik sangat la kalau aku bermarathon ke tandas.

“Rissa pergi dulu, ayah. Assalamualaikum.” Cepat-cepat tangan ayah kusalam.

“Ya la. Hati-hati.” Pesanan wajib ayah. Disampaikan bersama senyuman yang cuba ditahan-tahan. Lucu sangat agaknya dengan reaksiku. Ayah pun dah tahu aku sebenarnya tak selesa kalau nama Fateh naik.

Kesian Fateh. Dia tak bersalah pun sebenarnya. Tapi aku dah buat nama dia macam salmonella dan e. coli. Pantang disebut, terus cari tandas. Bukan saja-saja aku nak lari. Sebab aku taknak keadaan jadi canggung. Lagi canggung sebab ayah pernah cerita yang Fateh tahu yang ayah mahu jodohkan kami berdua. Malah Fateh pernah pertimbangkannya. Sebab tu aku rasa macam tak sedia nak bertemu dengan Fateh.

Aku terus mengatur langkah keluar. Dan bila aku menutup daun pintu dari luar, ayah juga baru beralih dari tempatnya untuk kembali ke tempat duduknya. Buatkan aku dapat melihat sedikit susuk Fateh. Cuma rambut hitam pekatnya yang aku nampak dari jauh. Baru sahaja Fateh ingin menolehkan wajahnya ke arah pintu, daun pintu terus tertutup rapat.

    -----------------

Hampir sebulan juga aku tidak menjejakkan kaki di I’s Café. Suasana I’s Café masih sama seperti dahulu. Masih awal pagi, jadi tak peliklah kalau bilangan pengunjung boleh dibilang dengan jari.

“Amboi… rileks nampak?” tegurku.

“Oh, mak kau!”

Dan Kak Tiqah pun masih sama. Pantang kena sergah, habis member sebelah kena tepuk. Terutama sekali Azrul yang selalu jadi mangsa. Sama macam sekarang, tak pasal-pasal Azrul yang tengah mengelap kaunter yang kena hempuk bahu.

Aku terus gelak. Sumpah kelakar. Apatah lagi bila Azrul dah macam nak berpencak silat dengan tuala kecilnya itu. Nasib baik tuala, bukan pedang. Haha.

“Aduh.. kenapa saya, kak?” Azrul mengaduh. Bahu yang dah jadi mangsa kekejaman Kak Tiqah diusap dengan wajah berkerut.

 “Sorry la, Rul. Kau je yang paling dekat.” Kak Tiqah sengih bersalah. Kemudian pandangan dihalakan ke arahku. Bercekak pinggang.

“Cik Rissa ni pun satu hal? Kenapa sergah macam tu?” Tak pasal-pasal aku pulak yang dimarahinya.

Tapi aku cuma tayang sengih sebelum meminta maaf.

“Alah… bukan selalu, Kak Tiqah. Saya pun rindu nak tengok Kak Tiqah berkarate dengan Azrul,” balasku sebelum tergelak kecil.

“Lama tak nampak, Cik Rissa? Ingatkan dah tak ingat kitorang kat sini,” tegur Azrul. Kembali menyambung tugasnya.

“Mana ada tak ingat. Takkanlah saya nak lupa kafe ni. Busy sikit la. Maklumlah.. banyak assignment and presentation. Kelas pun selalu penuh. Hari ni je kebetulan kelas cancel,” ceritaku.

I’s Café ni bagaikan nyawaku. Walaupun aku tak dapat ingat tentang kafe ini, tapi jauh di sudut hatiku aku tahu kafe ini sangat istimewa. Apatah lagi bila ayah pernah menceritakan kafe ini dihadiahkan kepada arwah ibu sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka. Sebab itulah kafe ini mempunyai nilai sentimental tersendiri meskipun kafe ini bukan kafe yang hebat dan terkenal.

Bila bercakap tentang arwah ibu, sedikit sebanyak aku sebak. Aku tak dapat ingat satu pun kenangan bersama arwah ibu. Lebih meyedihkan bila ayah tunjuk gambar ibu, aku tak dapat mengecamnya. Ayah yang menceritakan semuanya tentang ibu. Aku cuma tahu yang arwah ibuku meninggal dunia ketika aku berusia tujuh belas tahun. Setelah penat berperang dengan kanser rahim. Akhirnya, ibu berehat untuk selama-lamanya.

“Kau tengok ni, handsome kan? Kalau jadi pakwe aku, bahagianya hidup.”

“Eleh.. macamlah dia nak pandang kau tu. Jalan sebelah, bayang kau pun belum tentu dia dia nak jeling.” Perbalahan kecil itu membuatkan aku tersedar ke alam nyata. Lantas kepala ditoleh ke arah mereka berdua.

Nini dan Nuha. Presiden dan naib presiden Kelab Gosip I’s Cafe. Aku geleng kepala. Apalah gosip terbaru mereka kali ini? Hari-hari kalau tak stalk Instagram artis, tak layan cerita viral artis, tak lengkap agaknya hidup budak berdua tu.

Wuu.. hot gila. Kau tengok ni. Gambar dia dengan model Victoria Secret kut.” Suara Nuha. Khusyuk dia dan Nini tenung PC.

“Apa yang korang berdua tengah buat ni?” tegurku.

“Eh, Cik Rissa. Hai..” Mereka tayang sengih. Baru perasan dengan kehadiranku.

“Cik Rissa tengok. Gosip punya pasal, Cik Rissa yang cantik ni depan mata pun dorang tak perasan. Marah sikit, Cik Rissa,” bebel Kak Tiqah.

Sorry la. Bukan selalu dapat cuci mata,” jawab Nuha.

“Korang berdua buat apa?” Sekali lagi aku bertanya. Dengar je soalanku, bersinar terus mata budak berdua tu. Teruja.

“Hari ni saja-saja bukak web Forbes. European Successful Bachelors. Handsome-handsome semuanya.” Kemudian tayang muka miang.

Bukan calang-calang gosip mereka berdua ni. Rakyat Malaysia mana yang rajin nak buka laman web Forbes pagi-pagi macam ni? Dah habis agaknya gosip artis tanah air sampai dah berkembang ke fasa internasional.

Handsomenya Antonio Solovez. Tengok ni, bergambar dengan Lamborghini baru dia.” Nuha cuit lengan Nini. Dan sekali lagi kedua-duanya gelak miang.

“Amboi.. taste taraf international. Sedar la diri tu sikit. Tinggi pun terbantut ada hati nak orang Eropah.” Azrul menyindir sebelum mencebik.

“Tapi ada yang ada relationship dengan entrepreneur Malaysia. Aku tumpang bangga. Kau apa tahu?” balas Nuha balik. Bertikam lidah.

“Siapa?” soalku. Macamlah aku kenal.

“Nickolai D’Ambrosio.”

Kan dah cakap aku takkan kenal. Haha.

“Nickolai ni sepupu kepada Dheo Han. Pemilik La Prince Hotel.”

Dheo! Aku panggung kepala. Mendengar sebaris nama itu, entah kenapa bagaikan terasa sesuatu.

 “Dheo? As in D.H.E.O? Bukan T kan?” soalku balik.

Nuha pandang aku. Kening berkerut sedikit. Pasti pelik bila aku eja nama lelaki itu. Aku pun tak tahu kenapa aku boleh mengeja semata-mata untuk meminta kepastian namanya. Bagaikan pernah terjadi kepadaku dulu. Atau mungkin aku pernah mengenali seseorang dengan nama yang serupa?

“Haah.. D.H.E.O.” Nuha tetap menjawab soalanku.

“Kenapa? Cik Rissa pun mesti pernah dengar cerita pasal dia kan? Dia ni pun baru balik Malaysia. Sebelum ni menetap di Itali.” Tahu aje Nuha tentang biodata Dheo Han.

Teragak-agak aku geleng kepala. Takkanlah aku kenal lelaki itu?

“Cik Rissa nak tengok gambar dia? Handsome.” Nini mempelawa. Pantang lelaki elok sikit, mesti nak bagi mata aku sarapan pagi-pagi ni.

“Susah nak jumpa gambar dia kalau Cik Rissa nak tahu. Ni pun sekeping je gambar dia kat Forbes. Itu pun sebab dia dengan Nickolai. Kalau tak, haram takde. Bila saya cuba google, tak keluar pun,” sambungnya lagi. PC ditolak ke arahku.

Bunyi loceng menandakan ada pelanggan baru menapak masuk ke dalam kafe. Kami semua terdiam seketika. Hilang terus mod berhuha-huha tadi, semua bertukar ke mod serius bekerja. PC yang baru nak ditolak ke arahku juga turut ditarik balik. Segala jenis laman web sepantas kilat dipangkah. Hapuskan bukti sebelum Nini kembali menayang senyuman kepada pelanggan itu.

Seorang lelaki tinggi hampir mencecah enam kaki tegak berdiri di depan kaunter. Kepala terdongak sedikit merenung dinding di belakang kaunter. Itu telahanku memandangkan aku tak nampak hala matanya. Sebab ada ray ban hitam terletak di atas hidung mancungnya. Nampak macam orang asing.

Mungkin dah sedar dia dah berada jauh dari perhatian pancaran matahari, ray bannya ditanggalkan sebelum diletakkan di atas kaunter itu.

Semua diam. Lelaki itu juga tajam matanya melihat menu. Muka serius maut. Wajahnya pasti mencerminkan peribadinya. Aku syak lelaki ni mesti orang berpengaruh besar. Apatah lagi segak dengan berkut bagai.

Yes, sir. May I help you?” Nini bertanya. Bahasa Inggeris digunakan sebab muka lelaki itu macam baru mendarat dari benua Eropah. Baru tadi sembang pasal orang Eropah, tingg.. dah muncul sorang! Rupa pun boleh tahan. Pucuk dicita, ulam mendatang. Mahu tak bersinar mata budak berdua tu?

Lelaki itu senyum dulu.

One Hot Caramel Machiatto, espresso doppio please.” Garau suara lelaki itu memesan oder. Terserlah kepekatan pelat bahasa ibundanya bila dia bercakap.

Repeat order. One Hot Caramel Machiatto and one Hot Doppio?” Nini mengulang balik.

No… no.. Only one Hot Caramel Machiatto, but the espresso doppio.”

“Huh?” Tercengang-cengang Nini dibuatnya. Tak faham mungkin.

“Maksud dia mungkin Caramel Machiato tapi espresso double shot,” celahku.

Lelaki itu menoleh ke arahku. Senyuman agak seksi dihadiahkan kepadaku.

Si, signora. That’s what I mean.”

Italian! Mungkin faham sikit-sikit apa yang aku cakap tadi.

Aku senyum sekadar untuk berbahasa. Pelik-pelik permintaan pelanggan. Takpelah, janji dia bayar, dia tak membazir. Lain orang, lain tekak.

Nini yang sudah faham memberikan oder kepada Azrul. Sememangnya Azrul salah sorang barista yang berbakat di kafe ini. Aku juga banyak belajar macam mana untuk membuat kopi.

 “Are you from Italy?” soalku. Saja nak beramah mesra dengan tetamu Malaysia itu. Rakyat Malaysia kan peramah.

Si, signora. Yes.. I’m from Sicily, Italy.”

Sicily is beautiful. It’s a memorable place.” Laju saja aku menjawab.

Have you been in Sicily?” soal lelaki itu. Wajahku direnung dalam-dalam. Tak percaya agaknya.

Aku sendiri turut terkedu dengan jawapanku. Spontan jawapanku tanpa berfikir. Seolah-olah aku pernah tahu Sicily itu. Mungkin juga pernah sebelum aku hilang ingatan. Sayangnya, aku tak mampu ingat.

Aku senyum tawar kepada lelaki itu. Geleng kepala.

No.. I haven’t been in Sicily. But I always know Sicily is beautiful.”

Perhaps one day you will be going to Sicily. Italy always welcomes you,” balas lelaki itu dengan senyuman manis. Hilang segala wajah seriusnya tadi. Yang berdiri di depanku sekarang hanyalah seorang lelaki yang nampak gentleman.

Perhaps one day.” Aku sekadar mengiakan.

Setelah itu kedengaran buzzer lelaki itu berbunyi. Menandakan pesanannya sudah siap. Lelaki itu melangkah ke arah pick-up kaunter yang cuma berada bersebelahan dengan kaunter cashier.

Nice to meet you, signora.

Nice to meet you too, signor. Enjoy your drinks.”

Mi piacerebbe, capa. Quello che vuole lei.” Kepalanya ditundukkan sedikit ketika dia berkata. Bagaikan sedang tunjuk hormat.

Mentang-mentang sepatah aku sebut perkataan Itali, berabuk macam kereta api ayat Itali dia bagi aku.

Err.. I don’t understand.”

Dia senyum dulu. “Never mind. Please excuse me.”

Please drop by again next time, Mr…

Lucca. My name is Lucca.”

27 comments:

  1. Finally Anjel. Keluar juga Dheo ni. Lama tunggu update. Thanks Anjel

    ReplyDelete
  2. Oh my...dheo..dlm novel dr alpa male ada dia kan?

    ReplyDelete
  3. Akhirnya...ada juga...😍😍😍😍

    ReplyDelete
  4. Finally, Dheo's come back..thanks Anjell..x sabar nk tunggu sambungan utk tahu siapa Lucca kpd Dheo Han..

    ReplyDelete
  5. Kak anjell .. best lahh.. bila agknya bole terbit buku nihh.. x sabar nk baca

    ReplyDelete
  6. Waaahhh😍😍😍😘😘😘😜🎈🎉❤️

    ReplyDelete
  7. x sabar nk whole story Anjell

    ReplyDelete
  8. I'm gonna make an assumption that Fateh and Dheo are the same person. Menyesal Nurissa nanti tak nak jumpa Fateh earlier. Hehehe...

    ReplyDelete
  9. Patutlah mcm familiar je nama Deo Han n Nurissa tu..Dua nma tu Ada Kat "Alpha Male" Kan?😂😂

    ReplyDelete
  10. Tak sabar tunggu ...dah follow dalam dr. Alpha male...

    ReplyDelete
  11. Ehhhh nama yang sama dlm novel Dr.alpha male lahhh.Tetiba excited nak baca hahaha ��

    ReplyDelete
  12. mula2 ingat lucca yang mai tu dheo...aduhhh..tapi x silap scene ni mcm ada dlm alpha male...
    btw..saya rasa aura dheo ni lagi mengancam la..drpd hilman ukasyah

    ReplyDelete
  13. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  14. dear anjell..akak kalau gi popular sentiasa mencari novel terkini Anjell..how excited i am to be..nampak novel terbaharu..tq dear..get me happy..luv u...

    ReplyDelete
  15. Waaaaa kak anjell😍😍😍 Akhirnya keexcitedan saya berganda lepas baca novel Alpha Male akak!!!! Terima kasih sebab wujudkan buku yg sentiasa buat mak saya ingat anaknya meroyan😂😂

    ReplyDelete
  16. Siapa lelaki yang dalam Gambar tu?

    ReplyDelete
  17. Siapa ii yang rasa nak jual novel ni saya nak beli sila pm 0173559552

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )