Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Friday 17 March 2017

Dr. Alpha Male (BAB 22)


BAB 22

“Kenyang?” soal homo sapiens di depanku. Bukan sinis atau menyindir tapi penuh rasa ingin tahu. Sedari tadi khusyuk Dr. Hilman tenung aku makan selepas dia habiskan makanan terakhirnya. Adalah nak dekat sepuluh minit.

Aku sengih sebelum angguk. Gembira. Siapa tak gembira lepas perut kenyang? Kalau tak, takkan keluar pantun gendang-gendut tali kecapi tu kan? Nak-nak lagi kalau makan percuma. Ya.. kali ini, Dr. Hilman belanja aku lagi.

“Nak apa-apa lagi?” soal Dr. Hilman lagi. Belum sempat aku menolak, dia menyambung kata. “Dessert? Magnum?”

“Kat sini ada Magnum ke?” Bersinar mata bertanya Dr. Hilman. Tak jadi nak geleng. Dah lama aku tak pekena aiskrim Magnum.

Dia geleng. Huh.. kecewa!

“Kalau awak nak, kita boleh singgah 7-Eleven, beli Magnum.”

Aku pandang Dr. Hilman. Pelik.

“Singgah 7-Eleven sebab nak beli Magnum aje?” Biar betul Dr. Hilman ni.

“Ada masalah ke?” soal Dr. Hilman balik.

Ada.. sebab aku tak nak susahkan dia. Aku geleng. Geleng untuk soalannya. Geleng sebab aku tak nak Magnum.

“Tak payahlah.”

“Okey.. kalau macam tu, saya pergi settle bil dulu.”

“Saya nak pergi tandas.” Aku memberitahunya pula.

Dia cuma angguk sebelum kami sama-sama bangun. Cuma destinasi selepas itu yang berbeza. Dia ke kaunter, aku ke tandas.

Lepas keluar dari tandas, tiba-tiba rasa bulu roma berdiri. Terasa macam diperhatikan. Perasaan yang sama macam semalam. Apa yang jadi semalam kembali terlayar di mataku. Aku mula takut.

 “Cik!” Ada orang sentuh bahuku.

Aku terus menjerit. Tangan mula naik. Aku pukul lelaki yang menegurku itu. Kedengaran suaranya mengaduh kesakitan. Cuma sekejap sebelum rasa tubuhku ditarik. Ada susuk lain berdiri di depanku.

Dr. Hilman. Lega. Aku cuba mengatur nafas. Cuba neutralkan balik detakan jantungku.

“Saya minta maaf, Encik. Emosi dia kurang stabil sekarang ni.” Aku dengar Dr. Hilman meminta maaf.

Baru aku sedar yang aku dah pukul lelaki entah siapa-siapa. Rasa bersalah.

“Tak apa. Saya cuma nak cakap, purse dia jatuh.” Lelaki itu bersuara. Diserahkan sesuatu kepada Dr. Hilman. Dompetku. Lagi aku rasa bersalah.

Sekali lagi Dr. Hilman minta maaf dan berterima kasih kepada lelaki itu sebelum lelaki itu berlalu. Dr. Hilman pegang kedua-dua bahuku supaya berjalan mengikutinya ke kereta. Pintu kereta penumpang bahagian hadapan dibuka sebelum aku ditolak masuk dengan lembut. Aku rasa macam bayi sekarang ni. Cuma mengikut.

Seketika kemudian, Dr. Hilman masuk ke tempat duduk sebelah. Enjin dihidupkan. Pendingin hawa dipasang. Aku cuba tenangkan fikiran. Tangan diraup ke wajah. Aku lega Dr. Hilman cuma diam. Sungguh otakku sekarang tiba-tiba rasa keliru.

Dia cuma nak cakap yang dompet aku jatuh, tapi aku pukul dia. Serius aku tak tahu kenapa aku jadi macam tu. Semua bagaikan refleks.

“Saya tak tahu kenapa tadi. Badan saya bertindak sendiri. Kenapa dengan saya?” soalku lemah. Ketika aku mula lupakan kejadian itu, kenapa perlu terjadi sesuatu yang mengingatkan aku balik?

It’s normal, Hazel. Awak masih baru. Itu semua kesan trauma. It’s just fight-or-flight reaction. Semua orang yang baru lepas trauma akan rasa benda yang sama.”

Keluhan kecil kulepaskan.

“Sampai bila? Takkanlah semua lelaki yang datang tegur saya, saya nak terajang kut?”

“Itu saya tak boleh cakap. It is between you and your inner self. Your internal battle is yours to fight. Fight the fear. Only you can change the outcome.” Serius suara Dr. Hilman.

Aku diam. Semuanya atas diri aku. Aku kena kuat, beranikan diri. Aku kena lawan perasaan takut ni. Aku harap aku akan cepat-cepat atasi trauma ini. Macam mana aku nak pergi kuliah kalau tiba-tiba aku rasa takut bila lelaki dekat denganku?

“Saya takut bila lelaki dekat dengan saya. Tapi kenapa dengan Dr. saya tak rasa macam tu?” Keliru aku bertanya kepadanya.

Dia diam. Cuma pandang aku. Dia pun tak ada jawapan. Dan aku memang tak mengharapkan jawapannya.

Kami sama-sama diam untuk beberapa minit. Setelah aku agak tenang, Dr. Hilman bersuara.

“Awak dah okey? Boleh kita balik?”

Aku angguk. Tali pinggang keledar dipakai. Dalam hati berdoa semoga aku dapat atasi perasaan takut selepas trauma ini.

  ----------------

Dua minggu selepas kejadian hitam itu, aku sedaya mungkin berperang dengan perasaan takutku. Kadang-kadang terasa diri diperhatikan. Kadang-kadang rasa takut bila besendirian. Namun aku tetap kuatkan hati untuk melawan semuanya. Alhamdulillah makin berjaya.

Hidupku selepas itu menjadi agak tenang. Aku ada Sabiha yang tak putus-putus beri semangat kepadaku. Dia tahu apa yang jadi. Umiku yang menelefonnya supaya tengok-tengokkan aku.

Masa kali pertama Sabiha bertanya, terkedu juga aku. Tak tahu nak cerita apa, akhirnya aku cuma senyap. Dia pun faham dan tak desak aku. Dia dah dengar daripada umiku. Tak tahulah versi yang macam mana, tapi aku cuma diam. Biarkan dia dengan persepsinya.

Hidupku memang kembali normal sehinggalah aku mendapat berita itu. Iwan dan Safura bakal melangsungkan perkahwinan lebih kurang dua minggu lagi. Maksudnya lebih kurang sebulan selepas kejadian malang yang menimpaku dulu.

Terkedu. Tak tahu nak cakap apa. Sungguh aku tak menduga secepat ini mereka putuskan. Bila umi khabarkan berita itu, aku tak tahu apa yang aku rasa. Aku dah lama tahu mereka berdua bakal bersatu. Tapi bila jadi nyata, perasaan sedih itu ada. Bohonglah kalau aku cakap perasaan sayangku dah hilang untuk Iwan. Sayangku masih ada. Tapi perasaan marah dan sakit hati lebih menguasai.

Motif umi bagitahu aku sebenarnya adalah untuk menegah aku daripada balik kampung dua minggu lagi. Katanya, kalau aku balik, aku akan makan hati. Sedih aku makin berganda. Sebab itu umi nasihatkan aku supaya cari alasan supaya untuk tidak hadir ke majlis perkahwinan mereka.

Tapi, kalau dah namanya Tristin Hazel, mana nak makan saman? Kenapa aku perlu lari? Aku tak salah. Dua orang tu yang sepatutnya rasa kaki macam kena gigit biawak kalau nampak muka aku nanti. Sebab mereka dah khianati aku. Walaupun orang lain tak tahu, tapi mereka berdua lebih daripada tahu untuk rasa gelisah dan bersalah kerana dah bodohkan aku sehingga sekarang.

Aku akan buktikan yang aku seorang yang kuat. Jadi aku dah putuskan untuk ke majlis ke perkahwinan mereka nanti. By hooks or by crooks. Aku tak peduli apa cakap orang. Iwan dan Safura pasti tunggu aku hulurkan tangan ucap tahniah pada mereka.

    -------------

“Dr., saya dah siap dah,” kataku. Kertas-kertas itu disusun dan diletakkan di depan Dr. Hilman.

Masih ingat tentang WhatsAppku yang menawar diri untuk menjadi pembantu setia Dr. Hilman kalau dia perlukan aku? Haa.. nampaknya dia pun memang tak bergurau bila dia iakan dulu. Tengoklah sekarang, tak pasal-pasal tercongok aku di depan dia, dalam pejabat dia.

Kenapa? Sebab dia nak aku jadi kalkulator bergerak dia, kirakan markah Test 2 junior-juniorku. Calculus I dan Calculus III. Soalan MCQ. Semua kertas tu dah siap bertanda pen merah, tapi belum punya markah. Adalah dalam tujuh puluh helai kertas yang perlukan khidmat mata, jari dan otakku.

Lebih sejam aku bersengkang mata, akhirnya siap juga tugasanku. Yang menyakitkan hatiku sepanjang-panjang aku mengira markah adalah bunyi tak henti-henti yang keluar dari telefon canggih Dr. Hilman itu. Musik yang sangat aku kenal! Dia main game Clash of Clans!

What? Lecturer also needs entertainment.” Itu kata-katanya bila kali pertama aku melaser mata ke arahnya lepas dengar musik itu. Mukanya tak bersalah langsung. Hai.. nasib baik pensyarah! Akhirnya aku cuma biarkan saja.

“Okey. Terima kasih,” jawab Dr. Hilman. Telefon pintarnya turut diletakkan di atas meja. Dah puas main la tu!

“Dr. ada apa-apa yang perlukan khidmat saya lagi?” soalku. Mukadimah dan saja nak bagi dia hint yang aku nak cepat-cepat cabut.

Dr. Hilman diam dulu. Tegakkan duduknya sebelum bersandar ke kerusi empuknya. Aku ditenung macam nak kasi tembus.

So, how’s your life, Hazel?” soalnya.

Aku tahu dia maksudkan tentang hidupku selepas kejadian itu. Memang selepas dua minggu berlalu, kami jarang jumpa melainkan dalam kelasnya pada hari Khamis. Sama-sama angkat sepanduk, aku hidup aku, kau hidup kau. Sama-sama sibuk. Sehinggalah sekarang.

Bila Dr. Hilman tanya macam tu, perkara pertama yang melintas dalam kepala adalah pasal Iwan. Iwan dan Safura bakal bersatu tak lama lagi. Tiba-tiba rasa sakit hati. Rasa sedikit sedih. Masam mukaku.

“Kenapa? Apa dah jadi? Awak ada masalah?” Bertalu-talu soalannya. Terserlah keprihatinan di balik suaranya itu.

“Semalam umi call saya. Dia cakap Iwan dah nak kahwin dengan Safura dua minggu lagi.” Aku pun tak tahu kenapa aku bercerita kepadanya.

Dr. Hilman senyap.

“Akhirnya kahwin jugak dua orang tu. Umi baru cakap semalam. Dia takut saya sedih,” luahku. Aku tunduk.

“Awak sedih?” Dah ala-ala pakar psikologi tak habis menuntut pulak dia tanya aku.

Aku angguk. Kemudian geleng.

“Sedih. Tapi tak banyak. Lebih rasa terkilan. Tak sangka secepat ni dia orang kahwin. Macam apa yang saya dan Iwan alami sebelum ni cuma satu mimpi. Umi tak bagi saya pergi. Tapi saya tetap nak pergi.”

Aku tak tahu kenapa ringan mulutku bercerita kepadanya. Kami bukan kawan. Rapat jauh sekali. Tapi kadang-kadang, luahkan perasaan kepada orang asing itu lebih selesa.

“Saya temankan.”

Aku terkejut. Tak terkeluar buah ‘Hah?’ aku. Hanya mampu buka mulut tanpa keluar suara.

“Awak nak ke majlis tu kan? Saya temankan awak.” Dalam anak matanya menikam anak mataku ketika dia berkata. Menunjukkan itu adalah kata putus darinya dan aku seeloknya jangan mempertikaikannya lagi.

“Okey.” Aku setuju.

“Tapi mulai hari ni, bila kita berada di luar kelas, panggil saya Hilman atau Man.”

“Kenapa saya kena panggil macam tu?” Suara macam tak puas hati. Bukan tak pernah aku panggil dia dengan hanya namanya, tapi aku saja nak tahu alasannya.

“Atau awak nak saya suruh awak panggil abang Hilman?” jawabnya pula dengan senyum sinis.

Hilman is better.” Geli la anak tekak nak panggil dia abang. Macam pelik aje!

     -------------

Dada tiba-tiba rasa nak melompat ke tekak. Kaki rasa macam ada batu sepuluh kilogram terikat. Makin lama, makin jelas rumah yang cukup kukenali itu menghiasi pandangan. Rumah Safura. Ya.. hari ini adalah hari bersejarah dia dan Iwan. Akhirnya, selamat sudah mereka bergelar suami isteri.

Tiba-tiba rasa tak kuat. Aku berhenti melangkah. Bila aku berhenti, Dr… maksudku Hilman turut berhenti. Dia tepati janjinya untuk temankan aku ke kenduri kahwin itu.

Aku suka gaya Hilman. Dia tak banyak tanya. Dia selalu akan diam terlebih dahulu. Bagaikan tahu emosiku yang terumbang-ambing. Bagaikan memberi peluang untukku bertenang, lakukan senaman pernafasan dan seangkatan dengannya.

“Saya tiba-tiba tak yakin. Macam mana kalau tiba-tiba saya menangis nanti?” Mendung wajahku bertanya kepada Hilman. Panik. Tak sanggup aku nak shooting drama sebabak hari ini. Tengah-tengah majlis kahwin orang pulak tu!

“Jangan risau. Sayakan ada.”

Kalau orang lain dengar ayat spesis macam itu, mesti rasa macam rama-rama berkuak lentang di dalam perut. Tapi sayangnya aku bukan jenis macam itu.

“Apa yang awak nak buat kalau betul-betul saya menangis nanti?” Aku adalah jenis yang tinggi rasa nak tahunya. “Jadi bahu tempat saya menangis? Atau nak tolong lap air mata saya?” sambungku dengan penuh sarkastikus. Sekarang ini juga aku berani berkuda kepang kalau dia iakan.

Senyum herot menghiasi bibirnya.

Oh.. Sorry to disappoint you, sweetheart but I’m not a prince charming. I’m a jerk. Saya pilih untuk tumbuk orang yang yang dah buat awak menangis, daripada korbankan baju kesayangan saya ni untuk air mata awak. I hate tears.”

Aku sedikit terkejut. Sebab dia panggil aku sweetheart tengah-tengah alam ni? Atau sebab dia mengaku dia jerk? Atau sebab kenyataannya yang agak berlagak tapi benar itu? Atau semua sebab di atas?

Speechless? Good. Jom.” Selamba aje suaranya macam apa yang dicakap tadi itu adalah salah satu topik dalam kelas syarahannya.

Nafas dalam ditarik. Kumpul kekuatan. Kekuatan hati. Kekuatan jiwa. Dan kekuatan iman. Akhirnya kami sambung berjalan.

Makin dekat. Jantung juga makin rancak berdetak. Kalau Hilman ni perempuan, mesti aku dah pegang tangannya erat-erat. Manalah tahu boleh jadi konduktor untuk salurkan semangat kepadaku.

“Hazel.. kau datang?” Soalan itu diutarakan kepadaku.

Harlini. Anak Pak Uda, abang kepada umiku.  Dia jelas terkejut bila aku berani tunjukkan muka lepas apa yang dah jadi pada hubungan aku dan Iwan. Lepas apa yang dah jadi padaku. Aku dapat rasakan semua panjang leher pandang aku. Hazel dah datang! Aku rasa macam akulah tetamu VVIP yang paling ditunggu-tunggu hari ini.

Lambat-lambat aku ukir senyuman kepada Harlini. Plastik lagi kaku. Buat tak nampak dengan pandangan orang lain. Simpati? Kesian? Tak percaya? Tak suka? Aku malas ambil pusing. Sebaliknya tumpuanku sembilan puluh darjah pada Harlini.

“Famili kita buat kenduri. Sepupu aku kahwin hari ni. Takkan aku tak datang?” Selamba aku menjawab seolah-olah sepupu yang aku maksudkan itu bukanlah Safura, perampas tunangku itu.

Riak Harlini sedikit berubah. Kemudian aku dengar orang di bawah khemah makanan mula berbisik. Berbisik ke kalau boleh cecah telingaku? Atau telinga aku ni terlebih cekap menangkap.

“Buat apa dia datang sini? Nak rosakkan majlis ni ke?”

“Boleh tahan kuat juga si Hazel tu. Berani dia tunjuk muka. Kalau aku la, mesti aku dah menangis, meroyan tengok tunang kahwin dengan sepupu sendiri.”

“Tengok.. baru putus tunang, dah datang dengan lelaki lain.”

Okey.. yang terakhir tu, serius buat aku rasa nak humban orang supaya bergimrama di dalam tong air sirap. Kenapa libatkan Hilman sekali? Istighfar. Istighfar. Aku cuba mengawal hati daripada termakan hasutan syaitan. Juga daripada orang-orang yang bermulut puaka.

Hazel.. kau takkan peduli dengan apa kata orang, remember?

“Mana pengantin? Aku nak ucapkan tahniah. Nak bagi hadiah jugak.” Tak bernada suaraku sambil menunjukkan kotak hadiah sederhana besar yang dah berbungkus cantik. Baikkan aku? Siap bagi hadiah lagi.

Bagaikan tahu diri mereka diseru, akhirnya nampak pengantin keluar rumah. Sedondon Iwan dan Safura, memakai baju pengantin tradisional berwarna pic. Warna yang pernah aku sepakat pilih dengan Iwan dulu.

Oh, hati! Kuatlah engkau. Aku berdoa dalam hati.

“Hazel?” Suara Iwan agak terkejut.

“Iwan. Safura. Selamat pengantin baru. Semoga bahagia hingga ke Jannah. Tahniah,” ucapku. Tak tipu. Aku separuh ikhlas.

Iwan dan Safura berpandangan sebelum masing-masing berwajah kurang senang. Suasana juga berubah tegang. Aku rasa semua hadirin tertumpu kepada kami. Kenapa? Melainkan bunyi kanak-kanak menangis dan lagu selamat pengantin baru yang dipasang, tiada bunyi lain yang terhasil. Seolah-olah semua tengah berdebar-debar, mengira detik singgahnya tangan aku ke muka Iwan. Tak pun jemariku ke rambut sanggul Safura itu.

“Oh, lupa! Hadiah.” Aku serahkan kotak itu kepada mereka. Lambat-lambat Iwan sambut. Berjaga-jaga. Jangan risau, itu cuma set pinggan mangkuk. Aku belum cukup jahat lagi nak bungkus ular tedung di dalam kotak itu.

Err.. thanks, Hazel,” ucap Iwan. Diberikan hadiah itu kepada adik Safura untuk diletakkan di dalam rumah.

Sunyi.

“Terima kasih sebab sudi datang juga. Hmm.. sebenarnya Iwan tak sangka yang Hazel sudi datang.”

“Kita dah kosong-kosong. Jadi saya dah tak nampak atas sebab apa saya tak sudi untuk datang. Awak dah move on, saya pun nanti akan move on. Kita memang tak ada jodoh. Terima aje la. Tak ada dendam.” Alahai.. ayatku! Cinderella sangat! Janganlah nanti penonton-penonton tak bertiket itu menangis sebab terharu dahlah!

“Betul. Terima kasih, Hazel sebab terima semuanya dengan hati terbuka. Tak bedendam dengan Iwan. Iwan lega mendengarnya. Iwan harap kita boleh terus berkawan lepas ni.”

Kawan kaki dia! Sorry la! Dalam kamus persahabatan aku, dah terhapus seseorang bernama Iwan.

Aku senyum separuh ikhlas.

“Tahniah, Safura.” Sebab dah berjaya rampas Iwan daripada aku, sambungku dalam hati.

Aku hulurkan tangan untuk bersalam dengan tangan berinai Safura. Teragak-agak dia menyambutnya. Ketika itulah batu permata berkilauan pada cincinnya kelihatan. Hati rasa macam dipijak-pijak. Cincin ini ke yang mereka beli di Mid Valley dulu?

Oh, mata! Janganlah kau menangis. Semaksima mungkin aku cuba teguhkan empangan yang hanya menunggu masa untuk pecah.

Now I remember!” Suara tiba-tiba Hilman itu buatkan semua kepala terarah kepadanya. Tertanya-tanya.

Aku sendiri agak terkejut. Yang nak menangis terus tak jadi.

“Ingat tak bila dulu I cakap yang I macam pernah nampak you berdua kat mana-mana? Lepas I tengok cincin yang you pakai, I dah ingat dah kat mana kita pernah jumpa.”

Mataku dan Hilman berlaga. Aku tahu apa yang cuba dilakukan Hilman tapi aku cuma diam. Kali ini, aku memang tidak berniat langsung untuk menghalang apa yang bakal diberitahu oleh Hilman.

“Wah Chan. Mid Valley. Does it ring a bell?” Hilman seolah-olah sedang menggamit memori mereka berdua.

“You dan you masa tu tengah duduk, nak cari cincin. I’m Syah, the guy with dark aviator, remember? I duduk tepi you berdua. Masa tu I tengah carikan gelang untuk mummy I. Oh, God! Macam mana I boleh tak perasan sebelum ni? Kan betul I cakap kita pernah jumpa.” Laju Hilman bercerita dengan rasa tak bersalahnya.

Wajah Iwan dan Safura pucat dan berubah panik. Pasti ingat. Tapi Hilman tak berhenti di situ. Kening lebatnya dikerutkan sedikit.

Wait a minute. I jumpa you berdua hampir dua bulan yang lepas. You cakap you berdua pasangan kekasih. Tapi, bukan ke masa tu you dan Hazel…” Dibiarkan tergantung ayatnya sambil tayang muka keliru, konon-kononnya tengah berfikir. Menjadi sungguh ekspresi muka kelirunya itu. Aku bagi sepuluh bintang di langit dengan mutu lakonannya itu!

Aku dengar pelbagai bunyi yang keluar dari setiap saksi. Tak perlu Hilman sudahkan kata, semua orang pasti dah boleh agak apa.

Kalau tadi muka Iwan dan Safura pucat, kali ni aku rasa darah semuanya berkumpul pada anggota yang paling memerlukannya. Kaki. Supaya terus kuat untuk berdiri.

Dan aku masih tenang tak beriak. Seolah tak terkesan dengan cerita Hilman itu. Cuma mata galak memerhati. Alasan apa yang bakal dicipta pasangan mempelai itu nanti? Atau sebenarnya.. masih berpeluangkah mereka untuk memberi alasan?

Masih menunggu.

“Kau dengan Iwan sebenarnya dah lama pasang skandal, Safura?” Tinggi suara Harlini bertanya. Tolong suarakan apa yang semua orang di situ fikirkan.

Tajam matanya merenung Safura. Macam nak cincang aje Safura tu lumat-lumat, lepas tu campur dengan lauk-pauk kenduri ini.

“Ak.. aku.. kami.. bukan.. tidak..” Hilang terus tatabahasa Safura selepas dijerkah.

“Kau memang tak guna, Safura. Kau tak patut buat Hazel macam ni! Sanggup kau buat sepupu kau sendiri macam ni? Tak guna punya sepupu.” Harlini dah emo.

Cepat-cepat aku halang dia sebelum dia bukak gelanggang gusti dengan Safura. Sekarang aku confused. Safura rampas tunang aku ke, tunang Harlini? Huh.. perasaan wanita, cuma wanita yang tahu. Sebab itu agaknya Harlini boleh naik hantu.

“Lini.. malulah! Semua benda dah jadi,” desisku. Tak sanggup nak toleh belakang. Aku tahu semua orang dah tubuhkan persatuan masing-masing, bercerita pasal benda ni.

“Dia dah rampas tunang kau, Hazel. Kau tak sakit hati ke?” Mesti dia geram tengok aku yang macam tak rasa apa-apa.

Aku tak sakit hati ke? Aku pandang Iwan dan Safura yang sedari tadi tak berkutik. Sorang pandang lantai, sorang lagi pandang ke mana-mana sahaja kecuali muka aku.

Well.. it takes two idiots to do something stupider than stupid. And if none of them being stupid, that doesn’t occur.” Aku pinjam falsafah dari orang sebelahku. Sempat hujung mata melihat bibir Hilman yang tersenyum sedikit.

“Kami dah putus tunang. Dia dah bukan siapa-siapa. Allah dah ciptakan seseorang yang jauh lebih baik untuk aku. Buat apa aku nak sakit hati?” Selamba aku berkata lagi.

“Hih.. kalau aku jadi kau Hazel, ni dah jadi kenduri arwah. Huh.. sakit hati aku!” Harlini marah-marah sebelum angkat kaki.

28 comments:

  1. Wow.... best sgt.. padan muka iwan dan safura..x sabar nak tggu next... tahniah anjell

    ReplyDelete
  2. Wow, btl2 x sangka. Bravo la dr alpha male

    ReplyDelete
  3. Terbaiklah anjell..best3. keep it up��

    ReplyDelete
  4. Peh.. superb.. terbaik sis.. nak lagi.. sy suka.. ada keadilan di situ

    ReplyDelete
  5. Thumb up mmg terbaikkkk....go hazel go...karya anjel baca byk Kali pon xpernah boring...cayokkk sis maju n trs padu jgn stop untk brkarya

    ReplyDelete
  6. Padan muka iwan dgn safura.. huh!

    ReplyDelete
  7. pengajaran: Jangan suka aniaya orang....lambat laun nanti datang juga balasan Allah
    Thumbs up kak anjell....

    ReplyDelete
  8. Huh ! Padanla dgn ap yg dorg buat

    ReplyDelete
  9. Sgt berharap hazel kawen ngan hilman..cpt cpt...best and sgt sawitttt

    ReplyDelete
  10. Sgt berharap hazel kawen ngan hilman..cpt cpt...best and sgt sawitttt

    ReplyDelete
  11. Setepek kena kat muka iwan & safura..padan muka
    Sakit pulak hati kita

    ReplyDelete
  12. Hahahaaa... suka ayat dr hazel yg last tu...sarkastik gila.. hahahaa����

    ReplyDelete
  13. Superb la anjell .... hilman mmg bravo

    ReplyDelete
  14. i love it so much!!!! thumbs up 10x pd dr. hilman...what a good acting...but sye still berharap yg hazel xkene rogol...

    ReplyDelete
  15. Tahniah anjell! Keep it up.. Hope novel keluar lepas ni..jangan lama2 pleaseeeee

    ReplyDelete
  16. Apa reaksi ibu Hazel bila tahu anaknya teraniaya? Atau Safurakah & Iwan yg merancang semuanya suoaya mereka putus tunang?

    Waiting 4 d next chapter. Anjell, good job

    ReplyDelete
  17. Hati siapa tak sakit kalau jadi mangsa macam ni... Kalau dah namanya kebenaran, memang tak akan boleh disorok selama-lamanya....
    Geram tak habis lagi ni...😡😡

    ReplyDelete
  18. Dr Hilman mmg terbaik...x lupa Harlini gak...

    ReplyDelete
  19. OMG DR HILMAN NI PATUT DIBAGI THUMBS UP. GOOD JOB ANJELL , LUVYAA!

    ReplyDelete
  20. Nicee one anjell. Bab kalini best sangat. Omg hrp.lepas ni bermula bibit2 kasih antara hilman n hazel. Yeay

    ReplyDelete
  21. Hazel kena kuat....
    Hilman sentiasa ada d sisi hazel...
    Best....kipidap anjel

    ReplyDelete
  22. giler betul lah.. malam ni sy xtido baca tau. bilalah nk siap novel ni?tak sabar jg nk tunggu di dramakan... best sgt²👍😍

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )