Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Tuesday 7 February 2017

Dr. Alpha Male (BAB 9)

BAB 9

“Kakak! Kakak!” Pagi-pagi lagi suara umi dah jadi penggera bergerakku. Ala.. umi ni! Kacau aku nak tidur betullah.

Aku masih malas. Syaitan masih erat mengikat aku ke katil. Kembali pejam mata. Selimut tebal kembali ditarik ke dada. Bantal anak beruang ditarik menutup muka. Taknak dikacau di pagi hujung minggu yang damai ini.

“Kakak!” Suara mem besar berada dekat denganku. Aku yakin umi sedang berdiri di muka pintu bilikku.

“Bangunlah. Ya Allah.. budak ni!” Umi mula membebel. Dapat rasa kedua-dua tangan umi dah selamat mendarat di pinggangnya.

Aku dapat mendengar derap langkah kaki umi mendekati katil. Beberapa saat kemudian, selimut kesayanganku ditarik kasar. Sejuk penghawa dingin mula menyentuh kulit. Rasa umi melabuhkan punggungnya di sisi katilku.

“Anakanda kesayangan umi, bangun sayang.”

Aku buka mata perlahan-lahan. Umi dah lawa berbaju kurung kuning. Siap bertudung. Nak pergi mana pula dah ni? Anak siapa kahwin? Tapi kalau ada orang kahwin, takkan nak tunjuk muka pagi-pagi? Umi pun tak pakai baju lip lap-lip lap, jadi aku yakin bukan nak pergi kenduri.

“Awal lagi, umi. Bagilah kakak tidur setengah jam lagi.” Serak-serak suara pagi aku berkata. Serius rasa macam ada batu diletakkan di atas kelopak mataku. Berat.

“Cepat bangun, kakak. Teman umi pergi rumah Mak Cik Lyn.”

Dengar je rumah Mak Cik Lyn, terus rasa nak hantuk kepala ke dinding. Taknak pergi sana! Kenapa? Sebab aku nampak dengan jelas kereta Mercedes-Benz CLA hitam berkilat yang cantik terletak di laman rumah Mak Cik Lyn. Tak payah panggil Terence Tao setakat nak tahu jawapannya. Maksudnya, Dr. Alpha Male tu balik! Lagi aku malas nak ke rumah Mak Cik Lyn.

“Ala.. umi. Umi pergilah dulu. Lepas tu kakak pergilah.” Aku beralasan.

“Jangan nak mengada, kakak. Cepat bangun. Kalau tak, umi cubit punggung kamu tu!” Umi mula mengugut.

Terus meluas mata aku. Sepit ketam umi di punggungku! Tidak! Mahu naik bisul kalau aku biarkan. Aku rela jumpa Dr. Alpha Male tu daripada menjadikan gluteus maximus aku menjadi mangsa kekejaman umi.

“Ya.. ya.. kakak bangun!” Bingkas aku duduk daripada pembaringan.

“Cepat mandi. Umi tunggu kat luar,” arah umi lagi.

Aku jeling jam di telefon bimbitku. Pukul 8.30 pagi. Mengeluh. Sangat awal bagiku untuk hujung minggu. Dahlah aku tidur lambat semalam.

“Kita ni duduk kat kampung. Adat berjiran, kena selalu tolong-menolong. Nak-nak lagi kita ni jiran paling dekat dengan Lyn. Apa pulak dia cakap kalau kita tak tolong.” Umi mula berceramah. Dah mula dah dia dengan semangat perpaduan penduduk kampung ni.

“Ya.. umi, kakak tahu. Umi keluar dulu. Kakak bersiap,” kataku. Lama aku biarkan umi di dalam bilik ini, mahu lagi panjang umi berpidato. Kalau ada orang dengar, sah kena lamar jadi wakil rakyat.

Umi keluar. Tapi seharusnya sempat bagi satu jelingan amaran supaya aku cepat bersiap. Aku menggeliat malas. Nak taknak cepat bersiap sebelum umi datang mengugut lagi sekali.

    ----------------

Aku lebih selesa membontoti langkah umi untuk ke rumah Mak Cik Lyn. Makin aku mendekat dengan rumah banglo besar itu, makin kaki berat melangkah. Kenapalah dalam banyak-banyak minggu, minggu ni jugak Mak Cik Lyn nak buat majlis tahlil?

Aku mengeluh. Telinga lintah umi yang cepat menangkap terus menoleh ke belakang.

“Kenapa, kakak?” soal umi dengan kerutan di dahi.

“Takde apa. Penat,” autaku. Mana mungkin aku cakap yang aku ni malas nak ke rumah kawan baik dia tu sebab aku dengan anak kawan baik dia tu masih dalam mod perang dunia. Aku masih sakit hati, tahu?

“Jalan sikit dah penat. Tak fit langsung,” cebik umi.

Bukan tak fit umi. Tapi nak menghadap anak kawan baik umi tu, perlukan tenaga zahir dan batin kalau umi nak tahu.

“Ni la anak muda zaman sekarang. Mentang-mentang dah ada kereta sendiri, nak jalan pun malas. Umi muda-muda dulu selalu jalan, tahu?” Dah mula dah cerita umi masa zaman Ratu Kebaya dia dulu.

Umi sambung berjalan. Kakiku juga turut melangkah mengikuti umi. Beberapa saat kemudian, kami berdua berdiri di hadapan pintu dapur rumah Mak Cik Lyn. Salam diberi sebelum melangkah masuk. Dapur dipenuhi dengan beberapa orang wanita separuh umur. Takdelah ramai sangat. Maklumlah.. bukan nak buat kenduri besar. Yang datang ini pun cuma jiran-jiran berdekatan.

Selepas bersalam dengan semua orang, aku duduk bersimpuh di sisi umi. Senyum hormat kepada semua orang yang berada di situ. Dan aku perasan sesuatu. Aku seorang je anak dara, bujang trang tang tang di dapur ini. Cis! Ke mana anak dara lain menghilang. Kampung ni dah pupus anak dara ke?

Aku mula menolong. Tiada apa yang boleh dilakukan sebenarnya selain menjadi pak turut. Disuruh basuh bekas, aku basuh. Disuruh cari barang, aku cari. Sebab dah ramai orang yang melakukan tugas dapur. Kiranya aku datang ni sekadar ambil syarat. Tunjuk muka. Tunjuk rajin.

“Hai, Mak Su,” tegurku apabila nampak ibu saudaraku, Mak Su Halijah masuk dapur.

Mak Su Halijah agak tersentak apabila ditegur sebegitu. Dia senyum sebelum ambil tempat di sisi umi.

“Eh, Hazel, Kak Jar! Baru sampai ke?” soal Mak Su Halijah.

Mak Su Halijah ni adik kepada umi aku. Wajahnya iras-iras umi. Adik-beradik umi aku ni berdarah kacukan Melayu-Arab-Turki. Jadi tak peliklah kalau mereka berdua bermata hazel. Sayangnya, untuk generasi seterusnya, cuma aku yang mewarisi warna mata hazel keturunan umiku. Semua sepupuku sebelah umi, baik lelaki mahupun perempuan semuanya bermata coklat tua atau hitam.

“Baru la juga. Sorang je ke?” Umi bertanya balik. Aku baru perasan Mak Su Halijah tak berteman.

“Sorang je la, Kak Jar. Nak harapkan Nabilah datang? Hmm.. sampai ke tengah hari la nak kejutkan budak bertuah tu,” jawab Mak Su Halijah. Dia sedang bercakap tentang sepupuku yang berusia enam belas tahun.

Kalau aku seusia Nabilah pun aku malas nak datang sini. Semuanya makcik-makcik. Mana nak ngam dengan jiwa remaja? Baik aku melungkup di bawah selimut.

“Safura tak balik ke, Mak Su?” soalku. Bertanyakan tentang anak sulong Mak Su Halijah. Dia sebaya denganku tapi dah kerja. Kerja dengan sijil diploma. Katanya malas nak sambung bila dah dapat peluang bekerja.

Dia pandang aku sekejap sebelum kembali memberi perhatian kepada umi.

“Dia kerja. Tak tahu bila nak balik budak tu,” jawab Mak Su Halijah sebelum senyum. Nampak penat.

“Eh, Mak Su keluar dulu! Ada orang panggil.” Mak Su Halijah tunjuk ke arah pintu sebelum bangun. Memang ada salah  seorang jiranku memanggil ibu saudaraku itu.

Perhatian beralih kepada umi yang sedang memotong bawang merah.

“Umi, Mak Su kenapa? Ada masalah ke?” soalku. Aku ni memang suka menyibuk. Umi pandang aku.

“Kenapa kakak cakap macam tu?” Aku kembali ditanya.

“Mak Su nampak lain,” komenku.

“Begaduh dengan Pak Su la tu. Biasalah tu. Umi dengan abi pun selalu gaduh-gaduh manja. Dah.. jangan sibuk hal orang. Pergi basuh bawang yang umi baru lepas kopek ni.”

Umi tolak satu besen sederhana besar yang mengandungi beberapa ulas bawang merah yang baru lepas dikopek. Tanpa banyak bicara, aku cuma mengikut. Bangkit dari duduk bersama besen di tangan sebelum melangkah ke arah singki.

Betul-betul aku siap membilas, tiba-tiba ada tangan memegang kedua-dua bahuku. Nasib baik aku tak melompat. Tak pasal-pasal ada yang berenang di dalam singki. Aku pandang ke sebelah. Mak Cik Lyn.

“Hazel sibuk ke?” soal Mak Cik Lyn.

“Tak sibuk pun. Ada apa, Mak Cik Lyn?” Aku bertanya balik.

“Orang dapur minta bekas lebih. Nak letak daging. Nak minta tolong Hazel ambilkan bekas besar dalam bilik Nana, boleh? Mak Cik simpan bekas-bekas dalam bilik Nana.”

“Boleh, no hal.” Aku setuju. Lagipun aku memang kenal di mana bilik tidur Nana.

“Okey, terima kasih ya, Hazel.” Sempat Mak Cik Lyn berterima kasih sebelum berlalu macam lipas kudung apabila ada yang menggamit tangan memanggil. Sibuk betul tuan rumah.

Aku kembali menghantar bawang yang dah dibasuh kepada umi sebelum berlalu ke bilik Nana untuk mengambil bekas yang dikatakan oleh Mak Cik Lyn tadi. Ni mesti Nana tak balik sebab tu la Mak Cik Lyn boleh mengeksploitasi bilik tu. Sebaik berdiri di depan pintu bilik Nana, tangan terus laju menolak daun pintu.

Tapi, apa yang berada di depan mata sebaik pintu bilik dikuak buatkan kaki terus kaku terpacak. Hampir terbeliak mataku melihat Dr. Hilman yang betul-betul baru keluar dari bilik air. Hanya satu dalam kepala. Shit! Worst timing ever!

Tubuhnya hanya dibaluti satu tuala putih pada pinggangnya. Sa. Ha. Ja! Itu pun nampak longgar. Kalaulah jatuh… tak boleh bayang aku! Dan aku taknak bayangkan. Silap-silap mahu koma aku! Dada bidangnya masih bersalutkan beberapa titisan air. Rambutnya pula nampak masih basah dan menghala ke bermacam arah. Seakan-akan jemarinya baru lepas bermain di situ.

Aku telan liur. Tolong jangan cakap aku salah bilik! Mahu aku tak keluar rumah setahun sebab tangung malu. Nak jerit, tapi rasa macam liur tersekat di kerongkong. Nak lari, tapi kaki macam kena gam. Akhirnya cuma mampu terkaku di muka pintu dengan mulut yang sedikit ternganga.

Dr. Hilman pula terus berkerut kening memandangku yang selamba menjadi penceroboh biliknya. Tangannya disilang ke dada. Riak wajah tenang macam tak terkejut langsung melihat perempuan tiba-tiba muncul di dalam biliknya. Kemudian kepala didongakkan sekali ke arahku.

Are you here to rape me?” Dia memecahkan keheningan antara kami.

Jatuh ke tanah rahangku dengan soalan luar alam dia. Mulut… gaya bertanya macam nak tanya aku ni dah makan nasi ke belum? Rileks gila!

“Huh.. pleaselah!”Aku mencebik. Tapi mata masih tertancap pada dada bidangnya itu.

Dia senyum sinis.

Yes.. please.. Please take your eyes off my luscious body. Shuhh..” Dengan muka berlagaknya jari telunjuk kanannya dihalakan ke kiri dan kanan sebanyak tiga kali. Mengarahkan aku agar mengalih pandang.

Aku yang bagaikan baru tersedar terus larikan mata ke arah lain. Muka dah rasa berbahang. Malu apabila aku seperti terhegeh-hegeh mahu melihat tubuh tegapnya itu.

Tapi.. luscious body? Serius la mamat ni satu hari nanti nak kena makan pelempang aku gara-gara mulut dia tu! Aku mendengus kasar.

“Cari apa?” Dr. Hilman bertanya lagi. Rambut basahnya diraup sekali. Kemudian dengan selamba berlalu ke almari pakaiannya macam aku tak ada di situ.

Baru saja aku mahu menjawab, aku mendengar namaku dipanggil sebelum ada satu susuk tubuh lain turut berdiri di belakangku. Mak Cik Lyn.

“Allah… mak cik lupa nak cakap yang Nana dah bertukar bilik. Bilik dia sebelah bilik mak cik. Maaf ya, Hazel,” kata Mak Cik Lyn. Senyum minta maaf.

Alahai.. Dah terlambat dah. Mata saya dah kenyang sarapan dengan six pack Dr. Hilman, mak cik.

Jadi betullah bukan salah aku, kan? Aku dah masuk bilik yang betul. Aku tak tahu nak balas apa.

“Eh, takpe, mak cik. Hazel tak kisah.”

Erk.. kenapa rasa macam tak kena je jawapanku itu? Aku nak cakap aku tak kisah sebab aku tak salahkan Mak Cik Lyn yang lupa nak cakap.

Dua pasang mata terkebil-kebil memandangku.

“Eh, maksud Hazel, it’s okay. Bukannya selalu.”

Okey.. dah makin lain macam dah jawapan aku!

I mean, bukan selalu tersalah masuk bilik lelaki. Tak sengaja. Alpa. Khilaf. Manusia tak boleh lari dari melakukan kesilapan. Kan, mak cik?” Apa yang aku membebel ni?

Mak Cik Lyn dah pandang aku semacam. Tapi kepala diangguk-anggukkan beberapa kali walaupun nampak agak ragu-ragu.

Aku sengih. Hazel!! Baik kau diam sekarang ni! Mentang-mentang baru lepas tengok ‘luscious body’ yang macam Dr. Hilman cakap tu, berterabur segala tatabahasaku.

Dari hujung mata aku nampak Dr. Hilman bagaikan tengah tahan senyum. Nak je aku lastik, biar terbentuk lengkungan parabola terbalik di mulutnya itu.

“Yang kamu ni senyum-senyum kenapa, Man?” Ternyata Mak Cik Lyn juga turut memerhati. Kening berkerut memandang anak bujangnya itu.

“Entah-entah dia memang sengaja nak ceroboh bilik Man, mummy.” Dr. Hilman tunjuk ke arahku.

Kalau tadi muka aku warna tomato, sekarang ni dah dinaiktaraf jadi warna epal masak. Malu campur geram dengan lelaki itu. Amboi.. ingat aku nak hadap sangat masuk bilik dia?

“Hilman! Ada ke cakap macam tu?” marah Mak Cik Lyn.

“Dah.. jom kita keluar, Hazel. Mak cik mintak maaf dengan perangai budak bertuah ni. Kamu tu Hilman, cepat pakai baju. Tak malu ke tayang bodi depan anak dara orang? Kalau orang lain nampak, apa pula dicakapnya nanti?” tambah Mak Cik Lyn lagi berbaur sedikit amarah. Sempat hujung mata memberi amaran kepada anak bujangnya itu seolah-olah sedang berkata, ‘Behave.’

Dr. Hilman cuma mengangkat sebelah bahunya. Selamba menarik satu t-shirt hitam dan disarungkan ke tubuhnya.

Seketika kemudian, Mak Cik Lyn keluar dari bilik. Aku pun tanpa membuang masa turut meninggalkan bilik Dr. Hilman itu. Asal tiap kali aku jumpa dia kat sini, mesti dia tiga suku bogel depan aku? Dua kali kut!

Set dalam kepala, Hazel! Bilik Nana sebelah bilik Mak Cik Lyn, okey?

    -----------------

Selepas insiden memalukan itu, nasib baiklah aku dah tak terserempak dengan Dr. Hilman. Aku banyak duduk di dapur dan dia pula selalu berada di luar rumah, menolong kaum-kaum lelaki yang memerlukan tenaga muda.

“Bagus betul Hazel ni. Muda-muda pun datang menolong. Rajin.” Aku angkat muka apabila mendengar namaku diseru. Ingin tahu juga siapa yang dah buat aku kembang semangkuk dengan pujiannya itu. Salah seorang jiran aku, Mak Cik Imah yang bersuara.

Aku sengih.

“Betul. Payah anak dara zaman sekarang nak turun padang menolong macam ni. Untung kau, Hajar. Anak kau dahlah cantik, rajin pula tu. Berkenan aku nak buat menantu.” Mak Cik Zahrah pula menyokong.

Tak payah nak kembang hidung sangat. Aku rajin datang sini? Mereka tak tahu umi aku ni Ratu Sepit Ketam. Singgah di kulit, mahu seminggu berbisa. Trauma aku!

Hmphh.. tak payah nak puji sangat. Datang ni sebab aku yang seret. Kalau tak, takdenya nak jejak kaki ke sini,” bangkang umi. Aku setuju!

Aku sengih lagi sekali. Umi bawa aku ke sini sebab nak suruh aku menolong, bukan nak suruh orang puji dia ada anak dara yang rajin turun dapur. Ikhlas niat mahu meringankan beban kawan baiknya itu. Baikkan umi aku?

“Biarlah. Seret-seret pun, dengar cakap juga anak kau. Anak dara aku tu, kerjanya duduk depan laptop. Gelak-gelak. Entah cerita bahasa alien mana dia tengok. Aku dengar macam bunyi sayur... tauge.. Lepas tu dok berdebab-debab, nak aje aku bagi bedebuk sebiji,” kata Mak Cik Imah pula.

Aku ketawa.

“Tu bahasa Korea agaknya, mak cik,” tekaku. Kalau dah ada sayur macam yang Mak Cik Imah cakapkan, mungkin annyeonghaseyo? Tapi.. yang tauge dan debab tu tak tahulah dari mana.  Ottoke dan daebak agaknya.

“Agaknya la. Kita orang-orang tua ni manalah nak layan cerita-cerita macam tu.” Dia mengiakan.

“Tu anak kau. Anak aku tu, dua puluh empat jam pegang telefon. Nak aje aku nikahkan dia dengan telefon tu.” Mak Cik Zahrah menyampuk.

Lagi sekali ketawaku meledak.

“Biasalah, mak cik. Dorang darah remaja. Tengah panas sekarang ni.” Bukan mahu membela, tapi memang kenyataan. Kalau aku seusia lapan belas tahun ke bawah, aku rasa aku pun satu kepala.

“Masa ni la nak belajar. Supaya lepas ni tak kekok turun dapur. Macam kamu, Hazel. Mak cik nampak Hazel dah biasa buat kerja-kerja dapur. Untung tunang kamu, Hazel. Kalau kamu ni tak bertunang, mak cik-mak cik kat sini semua berlumba-lumba nak jadikan menantu,” kata Mak Cik Imah.

“Umi.. dengar tu. Semua dah berkenan nak Hazel jadi menantu. Untung umi.” Aku cucuk-cucuk pinggang umi. Saja nak mengusik. Umi senyum lucu.

“Betul tu, Hajar. Nasib baik dah bertunang. Aku pun berkenan Hazel jadi menantu aku. Dapat kita berbesan,” celah Mak Cik Lyn. Bernada gurauan. Umi turut ketawa.

Senyumku mati. Jadi menantu Mak Cik Lyn? Alias kahwin dengan mamat alpha male tu ke? Memang tak la! Bukan taknak beribu mentuakan Mak Cik Lyn. Tapi aku taknak bersuamikan lelaki macam tu.

“Haha. Tu la kan? Nasib baik dah tunang.” Aku buat-buat ketawa.

“Eh, Lijah! Safura macam mana sekarang ni? Bila nak kahwin?” Mak Cik Lyn bertanya pula kepada Mak Su Halijah yang sedari tadi cuma menjadi pendengar.

Tet.. tet.. soalan pusingan pertama yang berkisar tentang anak dara turun dapur dah tamat. Masuk pusingan kedua, haruslah bertanya tentang bila anak nak kahwin?

Aku nampak tangan Mak Su Halijah yang sedang mengelap pinggan itu terhenti. Angkat kepala, terus berlaga dengan mataku. Cuma sebentar sebelum pandangan dikalihkan ke arah Mak Cik Lyn.

“Anak aku macam tu la. Kerja. Dah ada calon katanya,” jawab Mak Su Halijah.

Aku yang mendengarnya cuma diam. Tak lama lagi, kahwinlah sepupu aku tu.

“Dah tu bila nak bertunangnya? Tunggu apa lagi? Kerja pun dah. Duit dah ada. Calon dah ada. Benda yang baik jangan dilengahkan,” sampuk Mak Cik Zahrah.

“Tak tahulah aku nak cakap apa. Macam main tarik tali dua orang tu. Malas nak cakap apa. Dorang yang bercinta, dorang yang putuskan.” Senang Mak Su Halijah jawab.

“Dah lama ke dorang bercinta?” soal umi.

Mak Su Halijah diam.

“Lijah, aku tanya kau ni! Dah lama ke dorang bercinta?” Umi ulang soalan dia.

Mak Su Halijah telan liur. Ngeri dengan kakak dia la tu. Umi memang garang dengan adik-adik dia.

“Dah beberapa bulan dah, Kak Jar.”

“Lepas ni dapat menantu la kau, Lijah. Entah-entah si Fura tu yang kahwin dulu dari Hazel ni.”

Mak Su Halijah senyum tawar.

“Hazel bila nak kahwin, Hajar?” Mak Cik Imah bertanya.

“Kalau ikutkan perancangan asal habis semester depan. Sebelum Hazel mula latihan industri. Tapi tak tahulah. Kita cuma merancang. Ada jodoh, adalah.”

Aku malas nak komen apa-apa apabila berbicara soal kahwin ini. Inilah sebabnya aku malas nak berkumpul dengan mak cik-mak cik. Pasal kahwin mesti nombor satu dalam kepala. Lepas tu sibuk masukkan anak masing-masing dalam percalonan carta anak dara laku keras. Aku boleh bayang perasaan anak dara lain yang yang digasak dengan soalan spesis itu. Stres! Nasib baik aku ni dah bertunang.

9 comments:

  1. Mesti cousin Hazel rampas tunang Hazel. X pelah Hazel, Hilman ade. Ha6. Next chap pleasee ♡♡♡

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yalah rasa pun macam tu sebab mak cik halijah asyik tak selesa bila pandang Hazel.

      Delete
  2. Kan...xpe Hilman ada setia menanti ����

    ReplyDelete
  3. Kan..mcm rasa sepupu Hazel jer akan jadi perampas tunang Hazel ni.hehhehe...kalu tak,tkkanlah Hilman jadi alpha male dlm cte ni..hheheheh

    ReplyDelete
  4. Kan saya pun rasa mcm tu juga. Nak lagi pls..!!!

    ReplyDelete
  5. Setuju.....xpe hilman ada...

    ReplyDelete
  6. Tq update...hilman ...tak berkenan kat hazel ke...?

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )